Tuesday, January 29, 2008

pentadbiran pusaka kecil orang Islam

KAJIAN TERHADAP PROSES PENTADBIRAN DAN PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL ORANG ISLAM DAN PUNCA KELEWATAN PEMBAHAGIANNYA

Mohd.Suhail Bin Mohd Najid

ABSTRAK

Kajian ini membuat penelitian ringkas terhadap sistem harta pusaka orang-orang Islam di Malaysia yang mengkhususkan kepada undang-undang Pusaka Islam atau Faraid dalam proses atau prosedur dalam permohonan pembahagian harta pusaka kecil. Bagi mencapai tujuan ini, kaedah temubual dan rujukan perpustakaan telah digunakan. Hasil daripada kajian ini mendapati bahawa dalam menentukan pembahagian harta pusaka menurut sistem faraid adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun bidangkuasa ini terhad dan terbatas kerana melibatkan institusi-institusi lain dalam menyelesaikan sebarang permohonan pembahagian pusaka dan prosedur-prosedur tertentu perlu diikuti oleh ahli-ahli dalam membuat tuntutan. Kesimpulan diperolehi, system pentadbiran dan pembahagian pusaka orang Islam di negara ini telah dilaksanakan mengikut akta-akta dan peraturan-peraturan yang ditetapkan, ia juga menepati pembahagian pusaka yang dianjurkan dalam Islam.

1. PENDAHULUAN

Harta Pusaka ialah segala harta yang bernilai di sisi syarak yang ditinggalkan oleh si mati yang dimiliki semasa hidupnya dan berterusan sehingga dia meninggal dunia[1]. Dalam istilah ilmu faraid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tarikah. Dari segi bahasa, al-tarikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh simati. Manakala definisi al-tarikah dari segi istilah syarak pula berlaku perselisihan fuqaha’ antara jumhur ulama’ dan mazhab hanafi dalam menentukan maknanya.[2]

Jumhur ulama mendefinisikan al-tarikah ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh simati termasuklah harta benda, hak-hak kebendaan dan hak-hak yang mempunyai unsur kebendaan ke atas hak-hak persendirian. Kesemuannya ini akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris.[3] Manakala mazhab Hanafi mendefinisikan al-tarikah ialah segala harta dan hak-hak kebendaan yang menjadi milik si mati. Harta termasuklah harta alih dan tak alih serta hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh orang lain padanya.

Islam telah menetapkan bahawa harta pusaka hendaklah dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid. Walau bagaimanapun, Islam tidak menetapkan satu cara atau kaedah yang khusus bagaimana harta pusaka itu hendak diurus dan ditadbirkan. Dalam konteks di negara kita, pengurusan dan pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam agak unik berbanding Negara-negara lain, bukan sahaja berpunca dari perbezaan agama, adat resam dan budaya hidup masyarakat majmuknya, malah ia turut dipengaruhi oleh faktor lain termasuk perundangan yang diguna pakai.

Kelewatan memohon untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka setelah berlaku kematian pemilik harta (si mati) adalah satu fenomena biasa yang berlaku dalam masyarakat kita. Banyak kes-kes yang tidak diberi perhatian sewajarnya oleh para waris dan tidak diselesaikan segera walaupun kematian itu telah berlaku beberapa tahun. Ada kes-kes tertentu yang memakan masa puluhan tahun untuk diselesaikan, malah ada juga kes-kes kematian yang berlaku sebelum zaman pendudukan Jepun masih belum diselesaikan.

Hal ini menunjukkan anggota masyarakat kita memandang remeh tentang penyelesaian dan pembahagian harta pusaka ini. Mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa penangguhan dalam pembahagian itu sebenarnya mengundang risiko yang sangat besar dari segi hukum dan undang-undang.

2. KONSEP HARTA PUSAKA KECIL DAN PENTADBIRANYA

2.1. Definisi Harta Pusaka Kecil

Harta pusaka kecil ialah harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat yang jumlah nilainya tidak lebih daripada RM600 000.00 yang terdiri daripada harta tak alih[4] semuanya atau campuran antara harta tak alih dan harta alih[5] pada tarikh permohonan dibuat[6]. Definisi ini dapat dilihat dalam Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dalam subseksyen 3(2).[7] Maka harta pusaka kecil ialah harta yang mempunyai ciri-ciri berikut:

i. Simati tidak meninggalkan wasiat (di bawah Akta Wasiat 1959)
ii. Harta itu terdiri daripada: Harta tak alih (tanah) dan lain-lain harta alih jika ada seperti wang simpanan, KWSP, ASB, saham dan sebagainya
iii. Jumlah nilai kesemua harta itu tidak melebihi RM 600,000.
iv. Jika harta ia hanya melibatkan harta alih sahaja dan nilaianya tidak lebih dari RM 600 000.00 serta tidak berwasiat atau tidak adalah tidak dikira sebagai harta pusaka kecil kerana ia hanya boleh ditadbir di bawah seksyen 17(1) Akta Perbananan Amanah Raya 1995.
Sekiranya harta tersebut bernilai lebih daripada RM 600,000.00 atau tidak mengandungi harta tak alih atau mempunyai wasiat, maka ia bukanlah pusaka kecil dan hendaklah diselesaikan oleh Amanah Raya Berhad atau Mahkamah Tinggi.

2.2. Pentadbiran Harta Pusaka Di Malaysia

Terdapat 3 undang-undang yang menetapkan cara dan peraturan pentadbiran harta pusaka di Malaysia:

· Akta Probate dan Pentadbiran 1959 (Akta No. 97)
· Akta (Pembahagian) Harta Pusaka Kecil 1955 (Akta No. 98)
· Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995 (Akta No. 532)

Berdasarkan undang-undang tersebut, agihan bidangkuasa pembahagian pusaka dikendalikan oleh 3 agensi:

Amanah Raya Berhad (pusaka ringkas)[8]

Mengendalikan harta simati yang hanya meninggalkan harta alih sahaja dan nilainya tidak melebihi RM 600,000. harta-harta yang mana tiada penuntut atau waris juga akan ditadbir oleh Amanah Raya Bhd.[9]

Contohnya: wang simpanan di bank, BSN, ASB, Tabung Haji, kereta, motosikal, saham, dividen dan sebagainya.




Pejabat Tanah / Unit Pembahagian Pusaka (pusaka kecil)[10]

Mengendalikan harta simati yang meninggalkan harta tak alih (tanah) sahaja atau harta tanah beserta dengan harta alih seperti duit simpanan di bank dan sebagainya dan nilainya tidak melebihi RM 600,000.[11]

Contohnya: simati meninggalkan 2 bidang tanah sahaja atau meninggalkan 2 bidang tanah dan duit simpanan di Tabung Haji.

Mahkamah Tinggi (pusaka besar)[12]

Mengendalikan harta simati yang meninggalkan sama ada harta tak alih (tanah) atau harta alih yang nilainya melebihi RM 600,000 atau harta berwasiat (bagi bukan Islam) walaupun nilainya kurang daripada RM 600,000

Bagi maksud kertas kerja ini, penerangan adalah ditumpukan kepada pembahagian pusaka mengikut Akta Pembahagian Pusaka Kecil, 1955

2.3. Prosedur Membuat Permohonan

Berikut adalah cara-cara membuat permohonan ini:

· Setiap permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dibuat dalam borang khas iaitu Borang A. [13]
· Permohonan mestilah disertakan dengan:
Bukti kematian:
Sijil kematian / permit menguburkan atau Surat sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan (bagi kematian semasa pendudukan Jepun/ sebelumnya); atau

Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi kematian tanpa kubur atau orang hilang.
Salinan photostat kad pengenalan / sijil kelahiran semua waris.
Salinan hak milik atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati.
Salinan dokumen harta-harta alih, seperti salinan sijil saham, salinan buku simpanan, salinan penyata KWSP dan sebagainya (jika ada).

2.4. Siapakah Yang Layak Memohon[14]

Seksyen 8 (1) Akta Pembahagian Pusaka Kecil memperuntukkan pihak-pihak yang boleh membuat permohonan, iaitu:

i. Salah seorang daripada waris-waris simati yang berhak menerima pusaka seperti suami, isteri, anak lelaki, anak perempuan, ibu, bapa dan sebagainya termasuk Majlis Agama Islam (Baitulmal).
ii.Pemberi hutang (creditor) termasuk pemegang gadaian /pemegang pajakan dan pengkaveat.
iii. Pembeli (pembelian melalui surat perjanjian yang sah dengan simati)
iv. Amanah Raya Berhad
v. Penghulu / Pegawai Petempatan




2.5. Perbicaraan[15]

Semua waris dan mana-mana orang yang berkepentingan atas harta pusaka itu bertanggungjawab untuk hadir di dalam perbicaran tersebut Sekiranya ada di antara waris yang tidak dapat hadir, pastikan waris yang tidak hadir itu menandatangani surat persetujuan yang menyatakan cara pembahagian yang dikehendakki. Ini bagi mengelakkan kes tersebut tertangguh atau tidak dapat diselesaikan.

2.6. Surat Tadbir Pusaka

Selepas perbicaraan di hadapan Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pegawai Tanah selesai, surat tadbir pusaka dikeluarkan. Surat ini membolehkan segala proses penurunan hak milik dilakukan. Tanpa surat ini segala urusan berkaitan penurunan hak milik tidak akan dapat dilakukan.[16]

2.7. Pembahagian

Bagi orang Islam, pembahagian pusaka dapat dilakukan selepas surat mentadbir harta pusaka dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan pembahagian ini tidak semestinya mengikut kadar yang ditentukan mengikut sistem faraid Islam. Namun ia juga boleh dibahagikan dengan pelbagai cara sekiranya mendapat persetujuan kesemua ahli waris, antaranya ialah:-
Pembahagian sama rata / sama banyak
Takharuj dengan balasan
Takharuj tanpa balasan
Pembahagian mengikut pakatan / persetujuan


3. MASALAH KELEWATAN PEMBAHAGIAN

3.1. Sebab Mengapa Pembahagian Pusaka Tidak Disegerakan[17]

Berdasarkan pengalaman dan kajian yang telah dijalankan di kalangan waris-waris, di antara faktor-faktor yang menyebabkan pembahagian pusaka tidak disegerakan ialah:

i. Salah Tanggapan

Sebahagian dari masyarakat beranggapan bahawa adalah tidak wajar membahagikan harta pusaka terlalu awal, kononnya “tanah kubur masih merah”. Jika terdapat salah seorang waris yang menyarankan agar pembahagian dan penyelesaian harta itu dibuat dengan segera, biasanya dia akan dipandang serong oleh waris-waris yang lain, dituduh sebagai tidak beradab, tidak menghormati simati dan sebagainya. Untuk mengelakkan perkara ini, akhirnya semua waris mengambil sikap berdiam diri dan menanti-nanti bilakah perkara itu akan diselesaikan dan siapakah yang patut memulakannya. Anak sulung yang selalunya menjadi tumpuan hanya berdiam diri. Penantian ini kadangkala memakan masa yang lama sehingga bertahun-tahun. Ini adalah satu tanggapan yang salah dan bertentangan dengan syarak kerana pembahagian pusaka perlu disegerakan supaya dapat ditentukan hak waris-waris.[18]

ii. Terlalu Bersopan

Masyarakat Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun yang tinggi nilainya. Mereka amat berhati-hati agar tidak dikatakan orang sesuatu yang tidak baik terhadap mereka. Dalam kes penyelesaian harta pusaka ini umpamanya, masing-masing takut untuk bersuara, bertanyakan tentang harta pusaka nanti akan dituduh berkehendakkan harta, tamakkan harta. Justeru itu masing-masing membiarkan harta pusaka tersebut sehingga sekian lama tanpa menyelesaikannya. Dengan bersifat demikian, mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka untuk membahagikan pusaka, sekaligus mereka juga telah mengabaikan tuntutan agama supaya menyegerakan pembahagian pusaka. Dengan ini bermakna mereka telah mengenepikan agama semata-mata kerana adat bersopan santun yang bukan pada tempatnya.[19]

iii. Tiada Pengetahuan dan Maklumat

Kekurangan pengetahuan dan maklumat ini boleh ditafsirkan kepada dua maksud. Pertama, waris-waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang proses pembahagian harta pusaka sama ada dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak tahu apakah yang harus mereka lakukan, kemana dan kepada siapa harus dikemukakan perkara tersebut. Kedua, mereka tidak tahu tentang risiko dan implikasi dari tindakan
mereka menangguh-nangguhkan pembahagian harta pusaka. Mereka menganggap tidak ada apa-apa kesan dari segi hukum mahupun undang-undang. Akibatnya, pusaka itu dibiarkan begitu sahaja tanpa disegerakan penyelesaiannya.[20]

iv. Sikap Tidak Apa / Tidak Prihatin

Sebahagian daripada masyarakat pula menganggap bahawa tugas menyelesai harta pusaka ini merupakan satu tugas yang remeh temeh. Mereka mengambil sikap endah tak endah (adamant attitude) dan menganggap bahawa menangguhkan penyelesaian harta pusaka ini tidak mendatangkan sebarang kesan, baik dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak prihatin terhadap tuntutan agama yang menuntut mereka agar menyegerakan pembahagian pusaka.[21]

Sebab itulah kadangkala harta pusaka itu dibiarkan sehingga begitu lama tidak diselesaikan. Mereka hanya mahu menyelesaikannya apabila sesuatu yang menguntungkan bakal menemui mereka, misalnya apabila harta tersebut hendak dijual, digadai atau diambil balik oleh kerajaan dan mendapat wang pampasan. Selalunya keadaan demikian berlaku keatas hartanah. Mereka tidak mempunyai rasa tanggung jawab untuk menyelesaikannya, kerana tanah tidak ke mana. Selagi tidak terdesak selagi itulah tanah tersebut dibiarkan. Ada di antara mereka yang tinggal di luar daerah atau negeri enggan untuk pulang menyelesaikan pusaka dengan alasan tidak ada masa, tidak memadai kerana harta sedikit dan berbagai alasan lagi. Sedangkan apabila dibuat kenduri kahwin misalnya mereka boleh pulang meraikannya.[22]

v. Pertelingkahan Di Kalangan Waris-waris

Pertelingkahan sesama waris juga merupakan salah satu sebab mengapa harta pusaka dibiarkan dan tidak diselesaikan dengan segera. Pertelingkahan mungkin wujud sebelum berlaku kematian dan berlarutan. Apabila berlaku kematian, waris-waris yang bertelingkah itu tidak dapat bersua muka di antara satu sama lain apatah lagi bertanya khabar tentang harta pusaka atau berbincang mengenainya. Pertelingkahan mungkin juga wujud selepas kematian. Mungkin ada di antara waris-waris yang tidak puas hati di dalam sesuatu perkara semasa pengurusan jenazah misalnya atau ada yang sengaja untuk cuba menguasai atau membolot harta-harta simati untuk kepentingan dirinya sendiri. Ini berlaku akibat dari rasa tamak dan haloba dan kadangkala sayangkan harta itu supaya tidak jatuh ke tangan orang lain. Akibatnya harta pusaka tidak dibahagi dan dibiarkan.[23]

vi. Tidak Puas Hati Dengan Sikap Si mati

Ini salah satu sebab yang juga menyumbang kepada kelewatan penyelesaian harta pusaka tetapi kurang diberikan perhatian. Ada kes yang berlaku, di mana waris-waris tidak puas hati dengan sikap si mati semasa hayatnya yang tidak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Ada anak yang diberi layanan dan perhatian baik dan ada yang sebaliknya. Ada juga anak yang telah diberi hibah[24] (pemberian semasa hidup) dan ada yang tidak diberi, atau diberi tetapi secara tidak adil, dan berbagai perkara lagi. Hal-hal seumpama ini juga akan menyebabkan sebahagian waris merasa jauh hati dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penyelesaian harta pusaka itu.[25]

vii. Tidak Mahu Harta Berpindah Kepada Orang Lain

Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh seorang Pegawai Pembahagian Pusaka yang membuat ijazah sarjana mendapati, 81% daripada waris-waris yang disoal siasat mempunyai hubungan yang baik dengan waris yang lain, dan tidak mempunyai apa-apa masalah yang boleh mengakibatkan berlakunya kelewatan permohonan untuk menuntut pusaka, tetapi apabila disoal siasat beliau mendapati sikap pemohon itu sendiri yang menyebabkan berlakunya kelewatan di mana ada di kalangan mereka yang tidak mahu menyusahkan diri, berasa selesa dengan keadaan semasa. Mereka ini adalah di kalangan orang yang mendudukki tanah pusaka atas nama si mati. Mereka menjadi berat hati dan takut untuk memohon pusaka kerana takut tanah yang didudukki mereka akan dituntut oleh waris-waris lain. Oleh yang demikian untuk mengelakkan wujudnya hubungan tidak mesra di antara waris, maka lebih elok tanah tersebut kekal dengan nama si mati.[26]

vii. Menaruh Harapan Kepada Anak Sulung

Kajian juga mendapati seramai 55% daripada waris yang disoal mengakui dan bersetuju bahawa mereka mengharapkan waris yang tertua (anak sulung) yang akan membuat tuntutan harta pusaka. Waris lain hanya tunggu dan lihat. Oleh kerana anak sulung tidak mengambil apa-apa tindakan, berlakulah kelewatan dalam permohonan pusaka.[27]

4. IMPLIKASI DARI KELEWATAN PENYELESAIAN

Kelewatan penyelesaian pembahagian harta puisaka ini sebenarnya mengundang banyak masalah dan implikasinya sama ada dari segi hukum mahu pun undang-undang. Implikasi dari segi hukum.:-

1. Terdedah kepada perlanggaran hukum
a. Termakan harta secara batil
b. Termakan harta anak yatim
2. Tidak menunaikan hak-hak simati
a. Hutang simati tidak dijelaskan dengan segera
b. Wasiat tidak dilaksanakan dengan segera
3. Bilangan waris makin bertambah ramai akibat kematian berlapis
4. Pembahagian yang salah akibat lupa keterangan sebenar

Implikasi dari segi undang-undang, ekonomi dan sosial:-

1. Harta terbiar dan tidak terurus
2. Urusniaga hartanah tidak dapat dijalankan
3. Wang pampasan pengambilan balik tanah tidak dapat dibayar kepada waris-waris
4. Berbangkit isu pemilikan beramai-ramai keatas hartanah
5. Kehilangan dokumen penting seperti surat mati, surat perjanjian dan sebagainya
6. Menyulitkan proses perbicaraan pembahagian pusaka.
7. Tanggungjawab waris Menyelesaikan Pembahagian Harta Pusaka.

Semua waris adalah bertanggungjawab untuk menyelesaikan harta pusaka dengan secepat mungkin. Bukan sekadar membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka di Pejabat Pembahagian Pusaka, tetapi mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan pembahagian dengan sebaik mungkin, iaitu dengan cara:

1. Membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka secepat mungkin.
2. Mengadakan perbincangan terutamanya berkaitan cara pembahgian yang akan dipersetujui.
3. Bertolak ansur / prihatin / bertimbang rasa dan hidupkan semangat kekeluargaan.
4. Menghadiri perbicaraan. Jika tidak dapat hadir, boleh tanda tangan surat persetujuan.
5. Mengambil tahu semua harta pusaka dan apa-apa yang berkaitan dengannya, seperti hutang, wasiat dan sebagainya
6. Bekerjasama demi untuk menyelesaikan harta pusaka ini dengan sebaik mungkin.


5. KESIMPULAN DAN PENUTUP.

Prosedur pembahagian harta pusaka kecil sebenarnya ringkas dan murah, dengan hanya mengisi borang A dan jumlah bayaran serendah RM 22.00. Namun begitu masih ramai di kalangan waris-waris yang belum menyelesaikan harta pusaka. Waris-waris seharusnya bersama bertanggungjawab menyelesaikan pusaka sebaik mungkin demi menjamin kesejahteraan institusi keluarga dan kesinambungan keturunan pemilik harta. Untuk menyemarakkan lagi semangat waris-waris kearah penyelesaian pusaka, penghulu perlu memainkan peranan. Sebenarnya penyelesaian harta pusaka adalah tanggungjawab semua waris-waris. Walaubagaimanapun waris-waris perlulah memilih salah seorang di antara mereka sebagai ketua yang akan bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan dengan penyelesaian dan pembahagian harta pusaka diperingkat keluarga dan juga pejabat. Ketua yang dipilih sebaik-baiknya diutamakan anak sulung sebagai pengganti orang tua. Tetapi sekiranya anak sulung tidak berupaya kerana uzur, tinggal jauh, tiada kemampuan dan sebagainya, tugas sebagai ketua bolehlah dipindahkan kepada sesiapa sahaja di kalangan waris-waris yang mempunyai kemampuan untuk menguruskannya tanpa mengira status sama ada lelaki atau perempuan, bahkan isteri, ibu atau bapa juga boleh menguruskan penyelesaian pembahagian pusaka ini.Adalah diharapkan kertas kerja ini akan dapat merumuskan satu jalan penyelesaian yang berkesan keatas kelewatan permohonan pembahagian harta pusaka, dengan hasrat dapat melahirkan waris-waris yang bertanggungjawab dan prihatin di dalam urusan pembahagian pusaka. Sekian terima kasih.
RUJUKAN

Akta Pentadbiran Pusaka Kecil ( Pembahagian) 1955.

Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

Manual Procedure Duty, Section Distribution Estate, Ministry of Land and Cooperative Development, by Director General of Lands and Mines Department. Mac 1992.

n.a. 1998. “ Buku Panduan Permohonan Pembahagian Harta Pusaka Kecil” Bahagian Pembahagian Pusaka, Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian.

Sinha & Dheeraj, 1996, Legal Dictionary. Kuala Lumpur: Malaysia International Law Book Services.

Siti Mashitoh Mahamood, 2006, Kertas Kerja: Bidangkuasa Pentadbiran Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia: Perspektif Perundanga Syariah dan Sivil. Dianjurkan oleh UKM, Bertempat di KIPSAS, 8&9 Ogos 2006.

Mohd Zamro Muda dan Mohd Ridzuan Awang, 2006, Undang-undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia. Bangi: Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Radhiudin bin Hj. Said. Pegawai Pentadbir Pusaka ‘Pentadbiran Pusaka Kecil Isu Dan Masalah’ (Temubual) 20 Julai 2007.

[1] Sinha & Dheeraj, 1996, Legal Dictionary. Kuala Lumpur:. Malaysia. International Law Book Services. m. 101
[2] Mohd Zamro Muda dan Mohd Ridzuan Awang, 2006, Undang-undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia, Bangi: Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. m. 2.
[3] Menurut pendapat ini juga, hak-hak yang boleh diwarisi termasuklah hak lalulintas atau hak minuman, hak manfaat ke atas barang yang disewa atau dipinjam, hak-hak khiyar seperti khiyar syarat. Begitu juga termasuk harta peninggalan si mati seperti arak yang telah menjadi cuka setelah kematiannya, diyat yang diambil dari pembunuhannya dan apa-apa yang tersangkut pada pukatnya yang telah dipasang pada masa hidupnya.
[4] Harta tak alih ialah harta yang tidak boleh dialih atau dipindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain seperti tanah, rumah di atas tanah, termasuk flat, apartment, kondominium, rumah murah dan sebagainya.
[5] Harta alih ialah harta yang boleh dialih atau dipindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, termasuk wang tunai, saham, KWSP, kenderaan, akaun, senjata api dan sebagainya.
[6] Supra. Nota..3. m. 195.
[7] “Sesuatu harta pusaka kecil ertinya suatu harta pusaka seseorang si mati yang mengandungi keseluruhan atau sebahagiannya harta tak alih yang terletak dalam mana-mana negeri dan tidak melebihi enam ratus ribu ringgit dalam nilai total”.
[8] Siti Mashitoh Mahamood, 2006, Kertas Kerja: Bidangkuasa Pentadbiran Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia:Perspektif Perundanga Syariah dan Sivil. Dianjurkan oleh UKM, Bertempat di KIPSAS, 8&9 Ogos 2006. m. 11.
[9] Seksyen 17(1), Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.
[10] Siti Mashitoh Mahamood, 2006, Kertas Kerja: Bidangkuasa Pentadbiran Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia: Perspektif Perundanga Syariah dan Sivil. Dianjurkan oleh UKM, Bertempat di KIPSAS, 8&9 Ogos 2006 m. 9.
[11] Manual Procedure Duty, Section Distribution Estate, Ministry of Land and Cooperative Development, by Director General of Lands and Mines Department. Mac 1992. m. 5-6.
[12] Supra. Nota 10. m. 8.
[13] Seksyen 8(1), Akta Pentadbiran Pusaka Kecil ( Pembahagian) 1955.
[14] n.a. 1998. “ Buku Panduan Permohonan Pembahagian Harta Pusaka Kecil” Bahagian Pembahagian Pusaka , Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian. m. 35.
[15] n.a. 1998. “ Buku Panduan Permohonan Pembahagian Harta Pusaka Kecil” Bahagian Pembahagian Pusaka , Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian. m. 35.
[16] n.a. 1998. “ Buku Panduan Permohonan Pembahagian Harta Pusaka Kecil” Bahagian Pembahagian Pusaka , Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian. m. 36.
[17] Radhiudin bin Hj. Said. Pegawai Pentadbir Pusaka ‘Pentadbiran pusaka kecil isu dan masalah’ (Temubual) 20 Julai 2007.
[18] Ibid.
[19] Ibid.
[20] Ibid.
[21] Ibid.
[22] Ibid.
[23] Ibid.
[24] Hibah dari segi bahasa bermaksud mengalihkan atau memberi daripada perkataan habubah. Dari segi istilah bermaksud pemberian semasa hidup sesuatu harta alih atau tidak alih kepada penerima hibah secara sukarela di atas dasar kasih saying dan kemanusian tanpa mengharapkan balasan.
[25] Supra. Nota. 17.
[26] Ibid.
[27] Ibid.