Tuesday, January 29, 2008

harta sepencarian

HARTA SEPENCARIAN: STATUS DAN PROSEDUR SELEPAS KEMATIAN


ABSTRAK

Harta sepencarian merupakan satu isu yang bukan baru dalam konteks pemilikan harta di Malaysia. Ia diterima pakai sebagai sebahagian dari undang-undang Islam di Malaysia. Sejak tahun 1880-an lagi telah terdapat kes-kes yang telah dilaporkan dan masih lagi menjadi rujukan kepada kes-kes yang berlaku pada masa kini. Namun dalam konteks semasa isu harta sepencarian turut terpakai apabila berlakunya kematian salah seorang pasangan yang berkahwin. Kajian ini secara tidak langsung akan merungkai dengan lebih mendalam akan status harta sepencarian serta prosedurnya selepas kematian. Bagi maksud penulisan ini, penulis akan mengklarifikasikan sama ada harta sepencarian itu akan menjadi harta pusaka si mati dan diagihkan terus kepada waris-waris si mati atau ianya menjadi milik pasangan si mati sama ada suami atau isteri dan hendaklah ditentukan dahulu bahagian tersebut dan hanya bakinya sahaja yang akan diagihkan kepada waris sebagai pusaka. Beberapa cadangan untuk menjelaskan kepada masyarakat akan hak suami atau isteri terhadap harta sepencarian selepas berlakunya kematian. Penulis akan merujuk dan mengambilkira pelbagai pendapat melalui penafsiran Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (selangor) 2003, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (1984), Rang Undang-Undang Keluarga Islam Wilyah-Wilayah Persekutuan (2005) dan lain- lain.

1.0 DEFINISI HARTA SEPENCARIAN
Harta sepencarian adalah harta sama ada harta alih atau tidak alih diperoleh bersama ketika dalam perkahwinan yang sah, sama ada secara langsung atau sebaliknya dengan berlandaskan kepada hukum syarak. Harta sepencarian adalah merujuk kepada harta diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan hukum syarak. Harta sepencarian ini berperanan memastikan suami isteri mendapat hak masing-masing hasil daripada sumbangan mereka dalam rumah tangga selain memastikan kehidupan lebih sempurna dapat dikecapi terutama dalam keadaan isteri diceraikan suami. Ia merupakan penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dicurahkan isteri dalam tempoh perkahwinan mereka.
Secara amnya, tuntutan untuk mendapatkan harta sepencarian berlandaskan kepada adat Melayu semata-mata. Tuntutan ini boleh dibuat hanya di Mahkamah Syariah saja. Suatu sumbangan terhadap harta perkahwinan dalam suatu perkahwinan itu juga, boleh dilihat menerusi sumbangan secara langsung atau tidak langsung. Sumbangan secara langsung adalah apabila suami dan isteri sama-sama bekerja atau berusaha bagi mendapatkan pemilikan sesuatu harta atau aset. Manakala, sumbangan secara tidak langsung adalah sumbangan dibuat pasangan suami isteri tanpa membabitkan sumbangan yang dapat dilihat secara hakiki seperti ketaatan seorang isteri menguruskan rumah tangga dan dorongan seorang isteri yang membolehkan suami berjaya di dalam kerjaya.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian ditakrifkan: “Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha, sama ada keuda-dua pasanagan itu sama-sama bekerja dalam bidanag yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak”.


2.0 PENSYARIATAN HARTA SEPENCARIAN
Al-Quran mahupun Sunnah tidak menerangkan dalil khusus yang menerangkan kedudukan harta sepencarian dalam Islam. Namun, dalam surah an-Nisa ayat 32 menerangkan bahawa setiap lelaki dan wanita mempunyai bahagiannya di dalam apa yang mereka usahakan (merujuk kepada kepada perhubungan suami isteri di dalam perkahwinan).
{ولاتتمنوامافضل الله به بعضكم على بعضۚ للرجال نصيب مما اكتسبواۖ وللنساء نصيب مما اكتسبنۚ وسئلواالله من فضله ۗۗ إن الله كان بكل شىء عليما}
“Bagi lelaki satu bahagian dari apa yang telah mereka usahakan dan bagi perempuan–perempuan satu bahagian daripada apa yang telah mereka usahakan”.
Surah an-Nisa’:32
3.0 KAEDAH FIQH YANG DIGUNAPAKAI
Dalam perundangan Islam, apabila sesuatu adat atau uruf diakui kebaikannya dan diberi pengiktirafan undang-undang, maka ia bertukar menjadi suatu peraturan yang mesti diikuti. Sejarah perundangan menunjukkan bahawa Rasulullah SAW apabila berdepan dengan persoalan uruf, baginda mengambil sikap berbeza-beza antara satu adat dengan adat yang lain sama ada menerima adat atau menolaknya atau menerima dengan pindaan terhadap sesuatu adat itu sebelum ia menjadi suatu hukum. Perkara ini boleh dilihat dalam kaedah fiqh Islam yang ada seperti dalam Kitab al-Asbah Wa Al- Nazair yang mana ia termasuklah ‘al-Adah Muhakkamah’ yang bermaksud adat mengambil tempat hukum dan ‘Al-Makruf Bi Al-Urfi ka Al-Makruf bi Al-Nas’ yang bermaksud “sesuatu yang diterima mengikut adat samalah kedudukannya seperti dibuat mengikut nas”.
4.0 BIDANGKUASA MAHKAMAH
Di Malaysia, rujukan mengenai harta sepencarian ini boleh dilihat fatwa dikeluarkan di negeri Melayu selain di dalam kitab ulama yang ada. Di dalam sistem perundangan kita, kaedah mengenai harta sepencarian diadaptasikan daripada undang-undang Islam dan ia kini diiktiraf oleh undang-undang negara dan diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kini peruntukan harta sepencarian ada dinyatakan dalam semua Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri di Malaysia.
Dengan Perkembangan Undang- Undang yang berlaku pada hari ini harta sepencarian telah diperuntukkan secara bertulis di dalam seksyen 58;
“ Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau, apabila membuat suatu perintah penceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu”
Didalam Jadual Kesembilan, Senarai Negeri bagi Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tuntutan harta sepencarian ini akan dibuat di Mahkamah Syariah bagi tuntutan yang melibatkan orang Islam.
Umumnya, sesuatu tuntutan harta sepencarian boleh dibuat di dalam beberapa keadaan iaitu apabila berlakunya cerai hidup, cerai mati (kematian) dan poligami. Hal ini dapat disimpulkan bahawa harta sepencarian sebenarnya merangkumi sesuatu harta yang diperolehi suami dan isteri menerusi usaha mereka bersama ketika perkahwinan.
Bahkan, ia juga termasuklah harta diperoleh suami menerusi usahanya sendiri ketika perkahwinan dengan sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Disamping itu, apa-apa hasil dan nilai tambahan daripada perkembangan menerusi usaha sendiri oleh pihak yang satu lagi kepada perkahwinan itu ataupun usaha bersama pasangan itu dalam perkara yang membabitkan apa-apa harta kepunyaan suami atau isteri sebelum perkahwinan atau apa-apa harta diperoleh isteri menerusi usahanya sendiri ketika perkahwinan atau apa-apa hadiah, pemberian (hibah), wasiat, sedekah atau harta pusaka diterima atau apa-apa harta lain diperoleh suami atau isteri sebelum atau ketika perkahwinan itu juga boleh dianggap sebagai harta sepencarian.
Ini bermakna suatu harta yang diperoleh isteri menerusi usahanya sendiri, walaupun di dalam tempoh perkahwinan maka ianya bukanlah suatu harta sepencarian. Bahkan, apa-apa bentuk sumbangan isteri di dalam menjaga keluarga atau urusan lain berhubungan dengan pemerolehan harta hendaklah dikira sebagai usaha bersama dan ia termasuklah di bawah takrifan harta sepencarian. Bagaimanapun, apa-apa sumbangan oleh suami dalam menunaikan kewajipannya menjaga keluarga dan rumah tangga seperti mana ditetapkan hukum syarak tidaklah dikira harta sepencarian kerana ia tidak dianggap usaha bersama pasangan suami isteri melainkan sekiranya sumbangan itu bukanlah kewajipannya sebagai seorang suami terhadap keluarganya yang mana sumbangan itu membawa kepada pemerolehan harta dengan ia dianggap harta sepencarian.
Walaubagaimanapun, suatu harta kepunyaan isteri atau suami sebelum perkahwinan, hadiah, pemberian (hibah), sedekah, harta pusaka diterima atau apa-apa harta lain diperoleh sama ada ketika perkahwinan atau sebelumnya juga tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian.
5.0 TUNTUTAN SELEPAS KEMATIAN

Namun, satu persoalan timbul iaitu adakah harta sepencarian ini boleh dituntut oleh mana-mana pihak seperti waris dan sebagainya selepas kematian sesuatu pihak?

Melalui nas yang telah dinyatakan di dalam Kitab Bughyah al-Mustarsyidin yang tersebut di atas ada menyatakan:-

أوموت" بينهما فرقة وحصلت "

Melalui nas ini jelas menunjukkan waris ada hak ke atas harta itu dan jika haknya
tidak diberi atau tidak mendapat apa-apa persetujuan, ianya boleh menuntut sekalipun selepas kematian salah satu pihak. Tuntutan seperti ini boleh dibuat ke
atas pihak yang masih hidup atau ke atas warisnya. Kerana hak seseorang itu tidak
gugur kecuali ianya memaafkan atau menolak haknya dan jika-hak itu masih wujud
akan berpindah kepada warisnya jika dia meninggal dunia.




5.0 ADAKAH HARTA SEPENCARIAN MERUPAKAN HARTA BERSAMA ATAU HARTA CAMPURAN?

Sekiranya kedua-dua suami isteri meninggal dunia tanpa meninggalkan anak dan harta yang dituntut sebagai harta sepencarian oleh keluarga kedua-dua pihak tersebut, adakah ianya merupakan harta sepencarian bersama atau campuran.

Pengunaan harta bersama di salam sebuah rumahtangga tertakluk kepada sejauh mana sikap terbuka pasangan tersebut. Pada asasnya, apa shaja yang ada di dalam sebuah rumah sesebuah keluarga adalah diperuntukkan oleh suami yang bertanggungjawab menyediakan nafkah termasuklah segala kelengkapan dan peralatan rumah yang seadanya menurut kemampuannya.

Namun begitu, didalam keadaan isteri sama-sama telah menyumbangkan wangnya bagi membeli harta atau peralatan rumah atau barang-barang itu dibawanya dari sebelum berkahwin, maka sudah terjadi keadaan di mana si suami kadang-kadang terdorong untuk sama-sama menggunakan harta berkenaan. Oleh yang demikian, didalam membahaskan harta bersama atau campuran ini di dalam konsep harta sepencarian,maka dapatlah disimpulkan bahawa pembahagian harta ini hendaklah berdasarkan kepada takat sumbangan pihak-pihak terhadap harta tersebut dengan mengambil kira pertimbangan-pertimbangan yang sewajarnya.

Telah diperuntukkan didalam Enakmen-enakmen Keluarga Islam bahawa mahkamah hanya mempunyai bidangkuasa membahagikan harta sepencarian sekiranya berlaku perceraian hidup sama ada perceraian dengan lafaz talak atau dengan lain-lain bentuk perceraian dengan perintah mahkamah. Sebaliknya, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa membicarakan kes tuntutan harta sepencarian sekiranya perceraian itu berlaku kerana perceraian mati.

Walaubagaimana pun, terdapat kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah bagi menuntut harta sepencarian selepas kematian suami atau isteri dimana Mahkamah Kadi Besar Kelantan memutuskan harta sepencarian boleh dituntut sekalipun perceraian berlaku disebabkan oleh perceraian mati. Hal ini dapat dilihat didalam kes Hajjah Saudah bt Che Mamat lwn. Hanafi bin Haji Daud dan Lain-lain dimana telah diputuskan bahawa tuntutan harta sepencarian selepas kematian telah di terima. Hal ini kerana, mahkamah berpendapat bahawa pekerjaan masing-masing suami isteri yang diakui oleh Rasulullah s.a.w sebagai tanggungjawab itu ada hubungan dengan apa yang didapati dari hasil pekerjaan suami atau isteri itu dan oleh kerana masing-masing sama ada dari pemberian orang lain atau dom, pesaka dan sebagainya

Oleh yang demikian, apabila dibuktikan bahawa sesuatu harta itu telah diperolehi bersama atau apabila pihak yang menuntut telah membantu mencari harta tersebut, undang-undang menetapkan bahawa harta itu sudah menjadi harta sepencarian, tidak kiralah sama ada tuntutannya dibuat setelah berlakunya cerai mati atau hidup.

Begitu juga dengan kes didalam kes Re Elang, Re Kulup Degor dan Lebar lwn Niat dimana Hakim E.N Taylor menyatakan bahawa di kampung-kampung yang terdapat di Sungai Perak mereka membahagi-bahagikan harta yang diperolehi dalam masa perkahwinan kepada pihak-pihak semasa perceraian atau ketika kematian mana-mana pihak. Sekiranya perempuan turut serta bercucuk tanam dia boleh menerima ½ dari harta dan jika tidak ianya akan menerima bahagian yang lebih kecil. Oleh itu, di dalam kes ini, diputuskan bahawa tuntutan itu dibuat setelah kematian suami.

Di Kelantan pula, bagi kes Hujah Lijah bte Jamal lwn Fatimah bte Mat Diah menerangkan tentang kes seorang balu menuntut setengah bahagian daripada tanah yang didaftarkan di dalam daftar mukim atas nama suaminya yang telah meninggal, sebagai harta sepencarian. Hal ini telah dibuktikan bahawa sebelum perkahwinannya itu dia (janda itu) ada memiliki tanah yang tertentu dan sebaliknya bagi suaminya dimana beliau tidak memiliki sebarang tanah. Walaubagimanapun, kedua-dua teman hidup ini telah mengerjakan dan mengusahakan tanah perempuan itu dan dari pendapatan daripada tanah itu mereka membeli tanah lagi dan sekali lagi tanah itu diusahakan oleh mereka berdua. Dalam hal ini, Hakim Brigss telah memberikan janda itu setengah bahagian daripada tanah itu sebagai harta sepencarian.


6.0 PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN

Dalam menentukan pembahagian harta sepencarian, seseorang hakim patut menimbang secara adil dan saksama beberapa perkara, antaranya ialah sama ada harta yang diperolehi bersama itu benar-benar hasil usaha kedua-dua mereka atau sebaliknya. Jika ia hasil usaha kedua-dua berapakah kadar sumbangan setiap mereka. Jika harta itu diperolehi bersama tetapi sumbangan salah satu pihak lebih besar daripada sumbangan pihak yang lain penentuan kadar patut dibuat samaada 60% : 40%, 70% : 30% atau sebagainya.[1]

Oleh yang demikian harta sepencarian akan dikira berdasarkan takat sumbangan masing- masing. Sekiranya kedua- dua mereka saling menyumbang, harta sepencarian akan dibahagi samarata. Sekiranya salah seorang yang menyumbang dari harta yang diperolehi, ia akan dikira 2/3 daripada harta. Namun sekiranya, salah seorang dari mereka hanya menyumbang dari harta tersebut, 1/3 akan dibahagikan kepada salah seorang dari mereka yang tidak menyumbang harta tersebut.

7.0 PROSEDUR PENGHAKIMAN

Umumnya, tuntutan yang bersifat harta atau akad harta memerlukan dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki atau dua orang perempuan, sebagaimana yang telah diperjelaskan dalam surah al- baqarah ayat 282 iaitu;


{واستشهدوا شهيدين منرجالكم فإن لم يكونا رجلين فرجل وامرأتان ممن ترضون من الشهداء أن تضل إحدىهما فتذكر إحدهما الأخرى}[2]

“Hendaklah kamu meminta dua saksi lelaki dari kalangan kamu, andainya tidak terdapat dua lelaki memadai dengan satu lelaki dan dua perempuan.”

Surah al-baqarah 282:

Ini bermakna, sekurang-kurangnya percakapan itu mestilah diterima daripada dua orang yang adil yang mendengar ada pakatan untuk berusaha memperolehi harta semasa perkahwinan. Keterangan yang diberi meyakinkan mahkamah bahawa adanya perolehan dalam masa perkahwinan. Jika hakim yang membicarakan kes itu berpendapat keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak mencapai tahap lebih kurang sama kuat, hakim tidak harus membuat keputusan. Sebaliknya, hakim patut mencari bukti sokongan untuk mencari hujah yang lebih kuat daripada kedua-dua pihak. Antaranya, melalui sumpah yang diminta oleh yang menuntut terhadap yang dituntutnya.

Dalam keadaan tertentu, ada keterangan yang cukup bagi pihak yang menuntut. Tetapi tuntutan itu dinafikan oleh yang dituntut dan ia diminta bersumpah, tetapi enggan berbuat demikian. Hakim tidak boleh membuat keputusan dengan keterangan itu.

Oleh yang demikian, hakim hendaklah memberitahu yang dituntut bahawa ia ada hak memulangkan sumpah kepada yang menuntut. Jika yang dituntut meminta berbuat demikian, yang menuntut wajib berbuat demikian untuk mendapat hak tuntutan.

Jika yang dituntut tidak hadir setelah diberitahu dengan secukupnya oleh mahkamah, tuntutan yang menuntut boleh dilayan dan segala keterangannya boleh didengar. Walau bagaimanapun satu keputusan untuknya tidak boleh dibuat kecuali selepas yang menuntut membuat sumpah, bahawasanya ia tidak menerimanya. Dan ia tidak sekali-kali melepaskan tuntutan atau hak sebahagiannya kepada yang dituntut( dalam tuntutan tanggungan) atau bahawasanya milik tetap ada padanya dan tidak sekali terluput darinya atau sebahagian daripadanya( dalam tuntutan sesuatu yang tetap).[3]


8.0 PENUTUP


Harta sepencarian merupakan harta yang diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri semasa perkahwinan mereka. Harta sepencarian boleh dituntu sekiranya berlaku keadaan seperti selepas penceraian, selepas kematian, dan semasa poligami. Namun demikian, masalah harta sepencarian di antara suami dan isteri yang berlaku selepas kematian juga perlu dititik beratkan dan diselesaikan dengan cara yang adil dan saksama. Sebagaimana yang kita ketahui juga selepas berlakunya kematian pihak waris kepada si mati sama ada si mati lelaki atau wanita boleh menuntut harta sepencarian tersebut berdasarkan kepada prosedur- prosedur yang telah ditetapkan. Kadar pembahagian harta sepencarian berdasarkan takat mana sumbangan masing- masing sewaktu perkahwinan mereka dahulu. Hakim yang akan mempertimbangkan kadar dan bahagian harta sepencarian tersebut. Oleh yang demikian, dapat penulis simpulkan disini bahawa masalah harta sepencarian boleh di tuntut di Mahkamah Syariah yang di tadbir oleh Enakmen Undang- undang Keluarga Islam di setiap negeri.



[1] Ibrahim. Ahmad.1990. Undang-Undang Harta Dalam Islam.M.S 148-149.
[2] Al-Quran. Al-baqarah: 282.
[3] Ibrahim. Ahmad.1990. Undang-Undang Harta Dalam Islam. M.S 161.

No comments: