Sunday, April 27, 2008

BIDANG KUASA WALI DALAM PERNIKAHAN

Oleh : Ghafani Awang Teh

Pendahuluan
Perkahwinan adalah amanah Allah swt. Untuk menyempurnakan amanah Allah itu ia memerlukan lima rukun iaitu:
Calon suami
Calon isteri
Wali
Dua orang saksi
Sighah ijab qabul Jika kekurangan salah satu rukun itu maka perkahwinan itu tidak sah. Salah satu isu penting yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita ialah bidang kuasa wali. Terdapat kes-kes seperti kahwin lari, akad nikah dua kali, kahwin paksa, bapa tidak membenarkan anaknya berkahwin dengan pemuda pilihan anak, bapa angkat bertindak sebagai wali kepada anak angkatnya dan sebagainya, di mana semuanya berkisar mengenai bidang kuasa wali. Persoalan yang timbul ialah apakah bidang kuasa wali yang sebenarnya untuk menyempurna dan memuliakan amanah Allah swt itu.
Pengertian Wali Dan Tertibnya
Wali bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Wali ini merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan. Dalil-dalil yang menunjukkan amat mustahaknya wali ialah:
Firman Allah swt: “Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila telah terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf” ( Al-Baqarah : 232)
“Dan janganlah kamu kahwinkan perempuan-perempuan kamu dengan lelaki musyrik (kafir) hingga meereka beriman”. ( Al-Baqarah : 222)
Dari hadith Nabi saw: “Dari Abi Musa r.a. Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali”. (Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa’i)
Oleh kerana wali merupakan salah satu syarat sah nikah maka bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah:
Islam
Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun).
Berakal - Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali.
Lelaki - Orang perempuan tidak sah menjadi wali.
Adil
Merdeka Manakala orang buta atau bisu pula adalah diharuskan menjadi wali kerana ia boleh menimbang dan memikirkan mengenai soal kufu dan hal-hal kepentingan kepada wanita, selagi ia boleh memahami isyarat serta tulisan dan ia memenuhi starat-syarat sah menjadi wali.
Susunan Wali Susunan wali mengikut tertib alah:
Bapa kandung
Datuk sebelah bapa ke atas
Saudara lelaki seibu-sebapa
Saudara lelaki sebapa
Anak saudara lelaki seibu-sebapa
Anak saudara lelaki sebapa
Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
Bapa saudara sebelah bapa sebapa
Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
Bapa saudara seibu-sebapa
Bapa saudara bapa sebapa
Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
Bapa saudara datuk seibu-sebapa
Bapa saudara datuk sebapa
Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).
Sekalian asabah kepada seorang muktiq
Raja/Sultan. Sekiranya wali pertama tidak ada, hendaklah diambil wali yang kedua dan jika wali kedua tidak ada hendaklah diambil wali ketiga dan begitulah seterusnya. Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Dan jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu; dan jika datuk juga meninggal dunia maka hak wali itu berpindah kepada saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya. Sekiranya pengantin perempuan itu tidak mempunyai wali maka ia akan dinikahkan secara wali hakim. Rasulullah saw bersabda: “Maka Sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali”. (Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)
Dalam kes Ismail bin Abdul Majid lawan Aris Fadilah dan Insun bt Abdul Majid (1990, Jld. V, II, JH) di Mahkamah Syariah, Kuala Kangsar, Perak, Yang Arif Hakim Amran bin Satar telah memutuskan perkahwinan yang diwalikan oleh wali ab’ad sedangkan wali aqrab masih ada maka perkahwinan itu tidak sah. (Wali Ab’ad : wali yang jauh perhubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali). (Wali Aqrab : Wali yang paling dekat hubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali). Fakta kesnya adalah seperti berikut: Pengantin perempuan telah berkahwin dengan seorang pemuda pada 6hb Mei, 1974 di Kampung Kandang Hilir, Kota Lama Kanan, Perak. Wali yang bertindak kepada perempuan tersebut ialah saudara lelakinya kerana bapa perempuan itu telah meninggal dunia. Pengantin perempuan itu sebenarnya juga masih mempunyai datuk yang masih hidup dengan segar dan waras yang tinggal di Bt. 8, Batu Laut, Kuala Langat, Selangor. Datuk itu tidak diberitahu mengenai perkahwinan cucunya itu. Kes ini telah dibawa ke Mahkamah dan telah diputuskan perkahwinan itu tidak sah atau batal dengan alasan:
Saudara lelaki pada pengantin perempuan itu tidak ada bidang kuasa wali kerana wali aqrab iaitu datuk perempuan itu masih ada.
Akal fikiran datuk itu masih waras maka hak kelayakan wali masih tidak hilang. Berdasarkan analisa kes tersebut, sepatutnya pengantin perempuan itu menghubungi datuknya bagi mewalikan perkahwinannya. Jika datuknya itu tidak dapat hadir, maka datuknya boleh mewakilkan (wakalah wali) kepada orang lain, untuk menikahkan cucunya itu.
Wali Mujbir Wali mujbir ertinya wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu. Menurut Mazhab Shafi’e, wali mujbir itu terdiri daripada bapa, datuk dan seterusnya sampai ke atas. Manakala wali-wali lain seperti saudara lelaki kandung sebapa, bapa saudara dan sebagainya bukan wali mujbir iaitu tidak ada bidang kuasa memaksa perempuan berkahwin. Dalilnya ialah: “Perempuan janda lebih berhak pada dirinya daripada walinya dan perempuan perawan atau dara dikahwinkan oleh bapanya”. (Riwayat Darul-Qutni) Hadith ini menunjukkan bapa atau datuk mengahwinkan anak perempuan yang perawan tanpa meminta izin anak perempuan itu terlebih dahulu adalah sah.
Dalam kes Syed Abdullah Al-Shatiri lawan Syarifah Salmah (1959, Jld. I, II, JH), ketika menyampaikan keputusan Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura, Yang Arif Hakim Ahmad bin Ibrahim menyatakan, mengikut Mazhab Shafi’e, apabila seorang anak dara dikahwinkan oleh bapanya tanpa minta izin anak dara itu terlebih dahulu, maka adalah sah perkahwinan itu. Fakta kes itu adalah seperti berikut: Seorang bapa Syed Abdullah Al-Shatiri mengahwinkan anak daranya Syarifah Salmah dengan Syed Idros bin Saggof Al-Jofri tanpa izin anak dara itu. Bapa itu bertindak sebagai wali dan ia sendiri menikahkan perkahwinan itu. Anak perempuan itu enggan menerima suami pilihan bapanya. Anak perempuan itu membawa kes itu ke Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah Singapura telah mengeluarkan perintah bahawa perkahwinan itu tidak sah berdasarkan hadith:
Pertama: Rasululah saw bersabda: “Janganlah kahwinkan seseorang perempuan yang tidak anak dara (janda) sehingga kamu mendapat kuasanya terhadap perkahwinnan itu dan janganlah kahwinkan seorang anak dara sehingga dipinta izinnya”. (Riwayat Al-Bukhari)
Kedua: Rasulullah saw bersabda: “Seseorang yang bukan anak dara mempunyai hak yang lebih besar mengenai dirinya daripada penjaganya. Persetujuan seorang anak dara haruslah dipinta berkenaan dengan sesuatu mengenai dirinya dan diam membisu pada haknya itu adalah bererti memberikan persetujuan”. (Riwayat Muslim)
Bapa telah membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura bahawa ia mengahwinkan anak dara perempuannya tanpa izin perempuan itu atas bidang kuasanya sebagai wali mujbir. Menurut Ahmad Ibrahim ketika menyampaikan keputusan Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura itu menyatakan: “Hadith-hadith yang menjadi alasan Mahkamah Syariah Singapura itu sebenarnya dipertikaikan oleh ulama mengenai makna “meminta izin anak dara” yang terdapat dalam hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Menurut Imam Malik, Imam Shafi’e, Imam Ahmad dan ulama-ulama dalam Mazhab Syafi’e seperti Imam Nawawi, maksud “meminta izin anak dara” adalah sunat bagi wali mujbir meminta izin terlebih dahulu daripada pengantin perempuan seperti mana dengan maksud hadith yang dieriwayatkan oleh Darul-Qutni”.
Selanjutnya Ahmad Ibrahim memetik pandangan Mazhab Syafi’e sepertimana yang terdapat dalam kitab Minhaj Talibin, karangan Imam Nawawi: “Seseorang bapa boleh mengikut kehendaknya mengahwinkan anak perempuannya tanpa meminta izinnya, tidak kira berapa umurnya dengan syarat anak itu masih anak dara. Walau bagaimanapun adalah sunat berunding dengannya mengenai bakal suaminya itu; dan izin rasminya ke atas perkahwinan itu adalah perlu jika dia telah kehilangan daranya. Manakala seseorang bapa mengahwinkan anak perempuan sewaktu anak itu masih di bawah umur, maka anak perempuan itu tidaklah boleh diserahkan kepada suaminya sebelum dia mencapai umur akil baligh. Jika berlaku kegagalan pada pihak bapanya, maka bapa kepada bapanya (datuknya sebelah bapa) hendaklah menjalankan semua kuasanya. Kehilangan dara menghapuskan hak mengahwinkan anak perempuan tanpa izinnya, dan tidaklah ada perbezaan di dalam aspek ini bahawa kehilangan dara antara yang disebabkan oleh persetubuhan yang halal dengan yang diakibatkan oleh persetubuhan haram. Sebaliknya hak itu tetap tidak terjejas jika kehilangan itu berlaku tanpa persentuhan badaniah, umpamanya akibat terjatuh ke atas tanah”.
Ketika menyampaikan keputusan Lembaga Rayuan itu juga Ahmad Ibrahim merujuk kepada buku “Mohamed Law Of Inheritance, Marriage And Right Of Women” oleh Syeikh Abdul Kadir bin Muhammad Al-Makkawi menyatakan : Seseorang bapa atau datuk mengahwinkan seorang anak dara tanpa persetujuan anak dara itu adalah sah dengan syarat:
Janganlah hendaknya terdapat antara anak dara itu dengan bapanya atau datuknya yang mengahwinkannya itu apa-apa sifat permusuhan yang nyata dan tidak pula terlindung daripada pengetahuan orang-orang di tempat anak dara itu berada.
Si suami itu hendaklah sama tarafnya (sekufu) dengan anak dara itu.
Si suami itu hendaklah mampu membayar mas kahwin.
Janganlah hendaknya terdapat sifat permusuhan baik di luar mahupun di dalam antara anak dara itu dengan si suami.
Bapa atau datuk itu tidak boleh mengahwinkan anak daranya dengan mas kahwin yang terkurang menurut nilai mata wang negara itu. Berdasarkan alasan-alasan di atas, Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura berpendapat bahawa perkahwinan yang dianjurkan oleh wali mujbir tanpa izin perempuan itu adalah sah. Maka keputusan Mahkamah Syariah yang terdahulu itu telah dibatalkan.
Perempuan Janda
Wali Mujbir atau wali-wali yang lain tidak boleh mengahwinkan perempuan janda kecuali hendaklah mendapat izin perempuan itu terlebih dahulu. Rasulullah saw telah bersabda: “Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda, “Perempuan janda diajak bermusyawarah tentang urusan dirinya, kemudian jika ia diam, maka itulah izinnya, tetapi jika ia menolak maka tiada paksa ke atasnya”. (Riwayat Al-Khamsah kecuali Ibnu Majah)
Dalam hadith yang lain, Rasulullah saw telah menyatakan: “Dari Khansa’ binti Khadam, bahawasanya bapa Khansa’ telah mengahwinkan dia, sedang ia perempuan janda, lalu ia tidak suka demikian itu. Kemudian ia datang kepada Rasulullah. Lalu Rasulullah menolak perkahwinan itu”. (Riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)
Ini bermakna perempuan janda mempunyai bidang kuasa menolak perkahwinan yang dibuat tanpa kebenarannya iaitu ia boleh menfasakhkan perkahwinan itu di Mahkamah Syariah.
Perkahwinan Bawah Umur
Menurut Mazhab Empat bahawa dalam Islam tidak ada larangan had umur untuk berkahwin. Ini bermakna kanak-kanak kecil boleh berkahwin. Daripada Siti Aisyah r.a., “Bahawasanya Nabi saw telah mengahwini Aisyah sedang ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun”.. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadith ini menunjukkan bahawa dalam Islam tiada had umur larangan berkahwin. Walau bagaimanapun menurut Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan: “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”.
Menurut Seksyen tersebut perkahwinan kanak-kanak di bawah umur hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah. Peruntukan Seksyen tersebut bukanlah berlawanan dengan pendapat Mazhab Empat. Sebenarnya kebenaran dari Mahkamah itu bertujuan memberi peluang kepada Mahkamah untuk menyelidiki gadis itu dari segi latar belakang, keadaan fizikal, kemampuan untuk berumahtangga dan menjaga kepentingan kanak-kanak itu. Adakah Wali Fasik Sah Menjadi Wali?
Mengikut pendapat Mazhab Syafi’e dan Hambali, wali fasik tidak boleh atau tidak sah menjadi wali nikah. Ini berdasarkan sebuah hadith dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah saw bersabda,
“Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan ada saksi yang adil”. (Riwayat Ahmad)
Yang dimaksudkan dengan adil ialah seseorang itu berpegang kuat (istiqamah) kepada ajaran Islam, menunaikan kewajiban agama, mencegah dirinya melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan sebagainya serta berusaha tidak melakukan dosa-dosa kecil.
Wali bersifat adil disyaratkan kerana ia dianggap bertanggungjawab dari segi kehendak agama ketika membuat penilaian bakal suami bagi kepentingan dan maslahat perempuan yang hendak berkahwin itu. Manakala wali fasik pula, ia sendiri sudah tidak bertanggungjawab ke atas dirinya apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada orang lain.
Untuk menentukan seseorang wali itu bersifat adil atau fasik adalah memadai dilihat dari segi zahir atau luaran sahaja ataupun memadai wali itu mastur iaitu kefasikannya tidak diketahui kerana untuk menilai kefasikan secara batin adalah susah. Walau bagaimanapun jikalau Sultan atau Raja itu fasik yang menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali maka kewalian itu tetap sah kerana kesahihannya diambilkira dari segi keperluan terhadap wali Raja.
Sebenarnya sebahagian besar ulama-ulama Mutaakhirin dalam Mazhab Syafi’e seperti Imam Al-Ghazali, pendapat pilihan Imam Nawawi dan sebagainya, telah mengeluarkan fatwa bahawa sah wali fasik menjadi wali, selepas beristighfar. Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin telah mengingatkan bahawa seseorang wali harus memerhati dan meneliti kelakuan geraklaku calon suami, jangan sampai mengahwini saudara perempuan dengan seorang lelaki yang buruk budi pekertinya atau lemah agamanya ataupun yang tidak sekufu dengan kedudukannya. Sekiranya ia mengahwinkan puterinya dengan seorang lelaki yang zalim atau fasik atau yang lemah agamanya atau peminum arak, maka ia telah melanggar perintah agamanya dan ketika itu ia akan terdedah kepada kemurkaan Allah swt, kerana ia telah mencuaikan persoalan silaturrahim (perhubungan tali kerabat) dan telah memilih jalan yang salah.
Selanjutnya Al-Ghazali menceritakan seorang ayah telah datang meminta nasihat kepada Al-Hasan, Katanya: “Telah banyak orang yang datang meminang puteriku, tetapi aku tidak tahu dengan siapa yang harusku kahwinkan dia”. Berkata Al-Hasan: “Kahwinkan puterimu itu dengan orang yang banyak taqwanya kepada Allah. Andaikata suaminya mencintainya kelak pasti ia akan dimuliakan. Tetapi jika suaminya membencinya maka tiada dianiayainya”.
Tiada Persetujuan Antara Wali Yang Sedarjat
Wali sedarjat ialah wali-wali yang mempunyai bidang kuasa yang setaraf atau sama. Misalnya bagi pengantin perempuan yang sudah tidak ada lagi bapa dan datuk, maka orang yang berhak menjadi wali mengikut tertib ialah saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan itu.
Persoalan yang timbul ialah saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan itu ramai. Siapa yang berhak menjadi wali?
Mengikut Islam kalau semua wali sedarjat itu bersependapat dan redha dengan bakal suami pilihan perempuan itu maka salah seorang boleh menjadi wali. Yang afdhalnya ialah terdiri daripada orang yang tahu hal-hal agama atau alim.
Satu isu lagi mengenai wali sedarjat ialah jika sebahagian wali sedarjat setuju bakal suami itu manakala sebahagian yang lain menentang bakal suami pilihan pengantin perempuan itu. Siapa berhak menjadi wali dalam kes seperti di atas?
Menurut Jumhur Fuqqaha (Mazhab Syafi’e, Maliki dan Hambali) jika perkahwinan itu dilakukan juga oleh wali sedarjat yang redha dengan bakal suami pilihan pengantin perempuan, maka wali sedarjat yang menentang itu berhak juga menfasakhkan perkahwinan di Mahkamah Syariah jika wali yang menentang itu ada alasan syarak.
Dalam kes tiada persefahaman antara wali-wali sedarjat ini, maka pengantin perempuan hendaklah membuat aduan di Mahkamah Syariah atas nama wali enggan di mana Mahkamah akan membuat keputusan yang adil.
Wali Hakim Atau Wali Raja
Wali hakim ialah Sultan atau Raja yang beragama Islam yang bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Oleh kerana Sultan atau Raja ini sibuk dengan tugas-tugas negara maka ia menyerahkannya kepada Kadhi-Kadhi atau Pendaftar-Pendaftar Nikah untuk bertindak sebagai wali hakim. Dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) Wali Hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang DiPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.
Sebab-Sebab Menggunakan Wali Hakim
Pertama: Tidak Ada Wali Nasab
Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti saudara baru di mana tidak ada saudara-maranya yang memeluk Islam atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung mengikut tertib wali atau anak luar nikah maka wali hakimlah yang menjadi wali dalam perkahwinannya. Rasulullah saw bersabda: “Sultanlah menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali”. (Riwayat Al-Khamsah)
Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali maka wali hakimlah yang akan mengahwinkan pengantin perempuan itu.
Kedua: Anak Tidak Sah Taraf Atau Anak Angkat
Anak tidak sah taraf atau anak luar nikah ialah anak yang lahir atau terbentuk sebelum diadakan perkahwinan yang sah. Contohnya, jika sepasang lelaki dan perempuan bersekedudukan sama ada lama atau sekejap kemudian mengandung maka anak yang dikandung itu dianggap anak tidak sah taraf walaupun anak itu lahir dalam perkahwinan yang sah. Ini bermakna benih-benih kandungan yang terjadi sebelum kahwin dan dilahirkan dalam tempoh perkahwinan, maka anakitu tetap dianggap anak tidak sah taraf.
Oleh yang demikian, jika anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan ia mahu berkahwin di kemudian hari, maka walinya ialah wali hakim. Begitu juga anak angkat. Jika anak angkat itu berasal dari anak tidak sah taraf, maka walinya adalah wali hakim kerana anak itu dianggap tidak mempunyai wali nasab.
Sekiranya anak angkat itu berasal dari bapa yang sah atau keluarga yang sah, maka walinya ialah berdasarkan susunan atau tertib wali yang ada, bukannya bapa angkat. Oleh itu para ibu bapa atau bapa angkat hendaklah berhati-hati tentang anak yang tidak sah taraf ini, jangan menyembunyikan keaaan sebenar.
Ketiga: Wali Yang Ada Tidak Cukup Syarat.
Dalam Islam, kalau wali aqrab tidak mempunyai cukup syarat untuk menjadi wali seperti gila, tidak sampai umur dan sebagainya maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali ab’ad mengikut tertib wali. Sekiranya satu-satunya wali yang ada itu juga tidak cukup syarat tidak ada lagi wali yang lain maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali hakim.
Keempat: Wali Aqrab Menunaikan Haji Atau Umrah
Dalam kitab Minhaj Talibin dalam bab Nikah menyatakan jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim. Demikian juga sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah wali sebelum membuat haji atau umrah atau semasa ihram maka wakalah wali itu tidak sah. Rasulullah saw bersabda: “Orang yang ihram haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin”. (Riwayat Muslim) Oleh yang demikian, jika seseorang perempuan yang hendak berkahwin, hendaklah menunggu sehingga wali itu pulang dari Mekah atau dengan menggunakan wali hakim.
Kelima: Wali Enggan
Para Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak. Diriwayatkan dari Ma’qil bin Yasar, ia berkata: “Saya mempunyai saudara perempuan . Ia dipinang ole seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda tersebut, kemudian diceraikan dengan talak yang boleh dirujuk. Perempuan itu ditinggalkan sampai habis eddahnya. Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya jawab:”Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau dengan dia selama-lamanya”. Peristiwa ini disampaikan kepda Nabi saw. Berhubung dengan peristiwa ini, Allah swt menurunkan ayat Al-Quran : “Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis masa eddahnya, maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya”. (Al-Baqarah : 232) Kemudian Ma’qil berkata: “Kemudian saya membayar kifarah sumpah dan perempuan itu saya kahwinkan dengan lelaki berkenaan”. (Riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud)
Dalam sebuah hadith yang lain dinyatakan: “Ada tiga perkara yang tidak boleh ditanggungkan iaitu: solat bila telah datang waktunya, jenazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya”. (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim)
Oleh yang demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu. Menurut Jumhur Fuqaha (Syafi’e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasulullah saw bersabda: “Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali”. (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat bin Salleh (1976, Jld. II, I JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadhi Perlis, Yang Arif Kadhi Mahmood bin Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk berkahwin dengan Mansor bin Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan. Fakta kes itu adalah seperti berikut: Seorang perempuan telah menuntut di Mahkamah Kadhi supaya ia dikahwinkan dengan Mansor bin Isa secara wali hakim kerana bapanya enggan mewalikannya dalam perkahwinan itu dengan mas kahwin sebanyak RM80.00 dan hantaran RM202.00 tunai.
Pihak bakal suami telah mencuba beberapa kali untuk meminang perempuan tetapi dihalang oleh bapa dengan alasan “Tunggulah dulu sehingga anak perempuannya mendapat pekerjaan”. Bakal suami itu bekerja sebagai Pembantu Audit. Kadhi ketika memutuskan kes itu menyatakan : “Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewalikan nikah anaknya kerana enggan atau berselisihfaham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan wali hakim atau wali Raja dengan alasan:
Pertama: Daripada Aisyah r.a. Nabi saw bersabda:
“Jika mereka berselisih , maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-Tirmizi)
Kedua: Rasulullah saw bersabda:
“Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar”. (Riwayat At-Tirmizi)
Ini bermakna wali yang enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
Wali Berada Jauh Atau Ghaib
Sering timbul dalam masyarakat kita, wali aqrab kepada pengantin perempuan berada jauh atau ghaib. Ini menimbulkan masalah kepada pengantin perempuan iaitu siapa yang berhak menjadi wali?.
Mengikut Mazhab Syafi’e, kalau wali aqrab ghaib atau berada jauh dan tiada walinya maka yang menjadi wali ialah wali hakim di negerinya, bukan wali ab’ad. Ini berdasarkan wali yang ghaib atau berada jauh itu pada prinsipnya tetap berhak menjadi wali tetapi kerana sukar melaksanakan perwaliannya, maka haknya diganti oleh wali hakim.
Persoalan yang tmbul ialah apakah ukuran yang dikatakan jauh itu? Menurut Mazhab Syafi’e, ukuran jauh itu ialah dua marhalah yang mengharuskan sembahyang qasar iaitu perjalanan unta sehari semalam di padang pasir. Berdasarkan halangan dan kesukaran perjalanan itulah maka wali hakim mengambil alih tugas wali aqrab yang berada jauh itu.
Mengikut ukuran sekarang, dua marhalah itu adalah sejauh 91 km. Kalau pada masa dahulu perjalanan dua marhalah ialah sejauh satu hari satu malam perjalanan unta, maka pada masa sekarang perjalanan dua marhalah itu hanya boleh sampai dalam tempoh beberapa jam sahaja, bahkan jarak perjalanan di antara benua dan lautan seolah-olah seperti dalam satu daerah sahaja.
Oleh sebab itu, ulama sekarang berpendapat bila wali aqrab berada jauh atau ghaib meskipun tempat tinggalnya di Eropah atau Amerika, hendaklah wali aqrab itu dihubungi melalui surat supaya ia mewakilkan hak kewaliannya kepada orang lain untuk mengahwinkan pengantin perempuan atau menunggu kepulangannya (jika ia mahu pulang segera) kerana perhubungan sekarang amat mudah dan cepat.
Sekiranya wali aqrab itu ghaib atau berada jauh dan tiadak diketahui langsung alamatnya maka barulah hak kewalian itu berpindah kepada wali hakim.
Dalam kes Hashim bin Mat Isa lawan Fatimah bte Ahmad (1977, Jld. III, I JH), Yang Arif Kadhi Besar Kedah, Syeikh Ismail bin Hj. Omar (pada masa itu) memutuskan perkahwinan kahwin lari yang dibuat di Pekan Siam, Padang Besar, Thailand itu tidak sah.
Fakta kesnya adalah seperti berikut: Kedua-dua pasangan itu warganegara Malaysia. Pengantin perempuan tinggal bersama bapanya (wali) di Batu 5, Jalan Sanglang, Kedah. Pengantin perempuan dan pasangannya telah berkahwin lari di Kampung Pekan Siam, Padang Besar, Thailand. Sekembalinya ke Kedah pasangan itu mahu mendaftarkan parkahwinannya. Permohonan itu dibuat di Mahkamah Syariah Alor Setar, Kedah. Ketika menyampaikan keputusan permohonan pendaftaran perkahwiann itu, Yang Arif Kadhi Besar memutuskan: “Perkahwinan pasangan itu tidak sah pada hukum syarak keranan jarak di antara tempat wali berada pada masa itu dengan tempat akad nikah yang dibuat di Kampung Pekan Siam itu tidak sampai dua marhalah dan perempuan itu diperintahkna supaya bereddah”. Sebagai pengajaran dari keputusan Mahkamah itu, maka adalah mustahak mana-mana perkahwiann yang hendak dibuat di luar kariah, daerah dan negeri hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada Pejabat kadhi yang berdekatan dengan tempat tinggal.
Wakalah Wali (Wali Mewakilkan Kepada Orang Lain)
Dalam Islam, terdapat satu prinsip Undang-Undang Islam yang menyatakan: “Tiap-tiap sesuatu yang boleh seseorang melaksanakan dengan sendirinya, bolehlah ia mewakilkan sesuatu itu kepada orang lain”.
Menurut prinsip tersebut, telah sepakat Fuqaha bahawa setiap akad yang dapat dilakukan oleh seseorang yang mempunyai bidang kuasa, maka akad itu boleh juga ia mewakilkan kepada orang lain misalnya dalam akad nikah, jualbeli, cerai, sewa menyewa, tuntutan hak dan akad yang lain.
Dalam hal akad nikah ini, apabila seseorang wali aqrab itu berada jauh, tidak dapat hadir pada majlis akad nikah atau wali itu boleh hadir tetapi ia tidak mampu untuk menjalankan akad nikah itu, maka wali itu bolehlah mewakilkan kepada orang lain yang mempunyai kelayakan syar’ie.
Begitu juga bagi bakal suami. Kalau ia tidak dapat hadir pada majlis akad nikah kerana ia sedang belajar di luar negeri, maka ia bolehlah mewakilkan kepada orang lain yang mempunyai kelayakan syar’ie bagi menerima ijab (menjawab) nikah itu. Walau bagaimanapun bagi perempuan (bakal isteri) ia tidak ada bidang kuasa mewakilkan kepada orang lain untuk megahwinkannya kerana haknya ada di tangan walinya.
Menurut Jumhur Fuqaha, syarat-syarat sah orang yang boleh menjadi wakil wali ialah:
Lelaki
Baligh
Merdeka
Islam
Berakal (akal tidak lemah)
Wakalah itu tidak boleh dibuat semasa orang yang memberi wakil itu menunaikan ihram haji atau umrah. Orang yang menerima wakil hendaklah melaksanakan wakalah itu dengan sendirinya sesuai dengan yang ditentukan semasa membuat wakalah itu kerana orang yang menerima wakil tidak boleh mewakilkan pula kepada orang lain kecuali dengan izin memberi wakil atau bila diserahkan urusan itu kepada wakil sendiri seperti kata pemberi wakil: “Terserahlah kepada engkau (orang yang menerima wakil) melaksanakan perwakilan itu, engkau sendiri atau orang lain”. Maka ketika itu, boleh wakil berwakil pula kepada orang lain untuk melaksanakan wakalah itu.
Wakil wajib melaksanakan wakalah menurut apa yang telah ditentukan oleh orang yang memberi wakil. Misalnya seorang berwakil kepadanya untuk mengahwinkan perempuan itu dengan si A, maka wajiblah kahwinkan perempuan itu dengan si A. Kalau wakil itu mengahwinkan peempuan itu dengan si B, maka perkahwinan itu tidak sah. Mengikut amalan di Malaysia, selalunya wakalah wali dibuat di hadapan Kadhi atau Pendaftar Perkahwinan dengan disaksikan oleh dua orang saksi. Sebelum melakukan walkalah wali, adalah mustahak wali itu mengkaji latar belakang orang yang hendak menereima wakil itu.
Penutup
Demikianlah bidang kuasa wali adalah amat penting dalam perkahwinan kerana ia menentukan sah atau tidak sesuatu perkahwinan. Oleh itu, setiap ibu bapa dan pengantin perempuan sebelum melakukan sesuatu perkahwinan hendaklah meyemak dahulu siapa yang berhak menjadi wali mengikut tertib dan susunan wali. Sekiranya para ibu bapa dan penjaga tidak mengetahui tentang wali maka hendaklah merujuk kepada mana-mana Pejabat Kadhi, Imam atau orang alim untuk mendapat penjelasan.

Wednesday, April 23, 2008

SYEIKH MUHAMMAD AL-FATHANI

Ulama Pembesar TurkiOleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAHSALAH seorang anak Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani yang menjadi ulama besar di Mekah sekali gus adalah seorang pembesar Mekah pada zaman pemerintahan Turki 'Utsmaniyah, ialah Syeikh Muhammad al-Fathani. Syeikh Muhammad al-Fathani termasuk dalam lingkungan keluarga besar ulama-ulama Patani yang terkenal, mulai ayah hingga beberapa lapis ke atas, sama ada dari pihak ayah mahu pun dari pihak ibu semuanya ulama belaka. Ayahnya Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman bin 'Utsman al-Fathani adalah saudara sepupu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (penulis Mathla' al-Badrain). Kedua-duanya adalah ulama besar yang cukup besar pengaruhnya di Mekah mahu pun di seluruh dunia Melayu. Kedua-duanya pula adalah cucu saudara Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.Syeikh Muhammad bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani mempunyai beberapa orang adik beradik, di antaranya Syeikh Daud bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani. Syeikh Daud bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani memperoleh seorang anak bernama Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani, beliau ini banyak disebut oleh Syeikh Yasin bin 'Isa al-Fadani dalam karangan-karangannya yang membicarakan sanad-sanad hadis. Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani selain anak saudara Syeikh Muhammad al-Fathani, sekali gus adalah anak angkat, anak didik, bahkan hampir keseluruhan ilmu yang dikuasai oleh Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani adalah diperoleh daripada ayah saudaranya itu. Syeikh Muhammad al-Fathani mengajar anak saudara itu dan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu mulai kitab yang paling asas hinggalah kitab yang tinggi-tinggi, di antara kitab yang tinggi-tinggi itu tidak semua orang berkemampuan mengajarkannya.SANAD ILMUApabila kita jejaki pendidikan yang dialami Syeikh Muhammad al-Fathani dapat diambil kesimpulan sekurang-kurangnya melalui dua jalur yang besar. Jalur pertama melalui lingkungan keluarga sendiri atau keluarga Patani di Mekah. Dan jalur yang kedua melalui ulama-ulama bangsa Arab yang berada di Mekah. Jalur daripada keluarga sendiri sekurang-kurangnya belajar kepada tiga orang. Yang pertama, kepada ayah beliau sendiri, iaitu Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Jalur yang melalui ulama-ulama Mekah sangat panjang untuk diceritakan. Di bawah ini saya salin satu sanad yang beliau berikan kepada muridnya yang bernama Muhammad Sa'id bin Ahmad yang berasal dari Melaka. Sungguh pun sanad tersebut hanya membicarakan Hizib an-Nawawi dibaca setiap selesai sembahyang Subuh dan Maghrib, namun sanad ini juga ada kaitan dengan pelbagai disiplin ilmu. Salinan selengkapnya adalah sebagai berikut: 1. Syeikh Muhammad bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, belajar kepada, 2. Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha, belajar kepada, 3. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada, 4. Syeikh 'Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada, 5. Syeikh Abi Muhammad Muhammad bin Muhammad al-Amir al-Kabir, belajar kepada, 6. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada, 7. Syeikh Muhammad bin 'Ali al-'Alawi, belajar kepada, 8. Saiyidi Muhammad ibnu Sa'aduddin, belajar kepada, 9. Saiyidi Muhammad ibnu at-Turjuman, belajar kepada, 10. Saiyidi Syeikh 'Abdul Wahhab asy-Sya'rani, belajar kepada, 11. Al-Burhan ibnu Abi Syarif al-Qudsi, belajar kepada, 12. Al-Badru al-Qubban, belajar kepada, 13. Saiyidi Muhammad ibnu al-Khabbaz, belajar kepada, 14. Al-Imam Muhyuddin Abi Zakaria bin Syarfun Nawawi (wafat tahun 670 H/1271 M.Berdasarkan sanad di atas, dapat diketahui Syeikh Muhammad al-Fathani belajar kepada Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Beliau adalah adik beradik dengan Saiyid Abi Bakri Syatha (pengarang kitab I'anah ath-Thalibin yang terkenal), dipercayai Syeikh Muhammad al-Fathani juga belajar kepada ulama ini yang sanadnya sama dengan yang di atas. Sebahagian besar ulama dunia Melayu mengaku mereka adalah murid kepada Saiyid Abi Bakri Syatha, hampir-hampir tidak ada yang menyebut mereka belajar kepada Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Setakat ini ulama dunia Melayu daripada catatannya sendiri, yang menyebut dirinya murid Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha hanya dua orang. Selain Syeikh Muhammad al-Fathani ialah Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Bahkan, Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin yang pertama di Mekah yang mengangkatkan nikahnya ialah Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad al-Fathani adalah bersahabat dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi ahli falak yang terkenal itu.Syeikh Muhammad al-Fathani juga bersahabat dan seperguruan dengan Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki. Kedua-duanya sama-sama belajar kepada Saiyid Abi Bakri Syatha yang bersanadkan kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan seterusnya. Ramai ulama dunia Melayu yang datang kemudian tercatat sebagai murid Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki itu, tetapi hanya sebahagian saja yang sempat belajar kepada Syeikh Muhammad al-Fathani. Mengenainya disebabkan Syeikh Muhammad al-Fathani meninggal dunia jauh lebih awal daripada Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki. Walau bagaimana pun dalam masa-masa kemasyhuran ulama Arab itu dari Patani muncul dua nama, ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud) dan anak saudaranya, ialah Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani (Pak De 'El).KITAB-KITAB YANG DIAJARKANSyeikh Muhammad al-Fathani sangat mengambil perhatian kepada murid-muridnya dalam penekanan ilmu-ilmu Arabiah yang terdiri daripada kitab-kitab ilmu nahu, mulai Matn al-Ajrumiyah dan syarahnya Mukhtashar Jiddan oleh guru daripada gurunya, iaitu Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan. Dalam rangkaian ilmu nahu dimestikannya pula belajar kitab-kitab al-Kafrawi, al-Kawakib, al-Qathar, asy-Syuzur, Ibnu 'Aqil dan syarahnya, Asymuni dan lain-lain. Dilanjutkan dengan ilmu Bayan dengan kitab-kitab seperti Risalah ad-Dardir, Jauhar al-Maknun, Hasyiyah ash-Shabban, Jamul Jawami', dan lain-lain. Kitab-kitab fiqh Syafi'iyah yang diajarkan oleh Syeikh Muhammad al-Fathani ialah al-Minhaj, al-Bahjah, at-Tuhfah, an-Nihayah, dan lain-lain. Semua yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Walau bagaimanapun dalam lingkungan keluarga ini termasuk Syeikh Muhammad al-Fathani tidak mengabaikan pengajaran kitab-kitab Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Mengenai tafsir al-Quran juga beliau ajar, di antaranya ialah Tafsir al-Jalalain. Sebagaimana penekanan dalam ilmu-ilmu yang tersebut, demikianlah penekanan ilmu-ilmu hadis. Kitab as-Sittah yang sangat terkenal di kalangan ahlus sunah itu tidak ketinggalan dalam senarai yang mesti diajarkan.AKTIVITISelain mengajar dan menjadi pembesar Mekah zaman pemerintahan Syarif Husein di Mekah, di bawah naungan kerajaan Turki 'Utsmaniyah, Syeikh Muhammad al-Fathani duduk pula sebagai ahli jawatankuasa menangani karangan-karangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mulai penyalinan semula untuk diperbanyak, penyemakan salinan, mengenalpasti kitab Arab yang dirujuk, memberi keterangan pada perkataan-perkataan yang nadir dan lain-lain. Pekerjaan demikian dikelola oleh ayah beliau, Syeikh Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad Ismail al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, kedua-duanya adalah cucu saudara Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.Pekerjaan kedua-dua ulama itu adalah menanggapi dan menyetujui inisiatif dan program kerja Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.Mereka mengumpulkan koleksi secara keseluruhan dan dibuat perencanaan bahawa karya-karya Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani yang paling utama dan didahulukan untuk diterbitkan daripada karya-karya selain beliau. Walau bagaimanapun karya-karya ulama dunia Melayu lainnya tidak diabaikan. Kitab-kitab Syeikh Daud al-Fathani mulai ditash-hih, kitab-kitab fikanya dimulai dengan tash-hih Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani dan Syeikh Muhammad al-Fathani membantu kerja-kerja ayahnya itu.KitabDi antara kitab karangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani yang ditangani oleh Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani yang sekali gus melibatkan anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani dalam perkara kerja-kerja yang telah disebutkan di atas, ialah kitab Hidayah al-Muta'allim, Bughyah ath-Thullab dan Furu' al-Masail Dalam Furu' al-Masail lebih 70 perkara fiqhiyah diberi keterangan atau dikomentari oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, dan di antara yang 70 perkara itu ada yang menyebut nama anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani yang diriwayatkan ini. Di antara perkara yang menyebut nama Syeikh Muhammad bin 'Abdul Qadir al-Fathani dalam Furu' al-Masail ialah salah sebuah edisi cetakan Furu' al-Masail ada catatan, "Dan pada tepinya beberapa taqrirat bagi asy-Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani dan bagi asy-Syeikh Muhammad bin 'Abdul Qadir al-Fathani, dan fawaid, dan lainnya".Furu' al-Masail halaman 212, "Orang yang kedatangan haid dahulu daripada tawaf rukun dan tiada kuasa tinggal di Mekah sebab ketiadaan nafkah ... " Jawabnya, "Harus ia kembali ke negerinya. Kemudian apabila sampai pada tempat, yang ketiadaan boleh dengan kemudahan kembali ke Mekah hendaklah ia tahallul ... Dan tinggallah tawaf pada zimmahnya, maka datanglah hukumnya seperti orang yang dahulu ... " Kalimat ini telah dibahas oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, dan kalimat beliau itu kemudian dibahas lagi oleh anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani, tulisnya, "Dan bahawasanya yang terlebih memeliharakan...hingga akhir, ibaratnya (susunan kalimat), kata Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, "Adalah perkataan Tuan Syeikh Daud itu tiada ada maujud pada asal, dan tidak munasabah perkataannya bagi tawaf rukun. Hanya ada munasabah bagi perempuan yang tiada haid, maka masalah ini, masalah haid. Maka perempuan yang haid ketika ia hendak musafir itu gugur wajib tawaf wida'nya." Syeikh Muhammad al-Fathani, menjelaskan perkataan ayahnya itu, tulis beliau," kata walid (ayahku, maksudnya Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, pen:), "Perkataan ini tiada ada pada asalnya", maka hamba dapat akan dia pada Hasyiah Jamal atas Fath al- Wahab ... " Daripada kalimatnya yang terakhir, iaitu, "..., maka hamba dapat akan dia pada Hasyiah Jamal atas Fath al-Wahab ... " adalah sebagai bukti bahawa Syeikh Muhammad al-Fathani seorang ulama yang rajin dalam penelitian, rajin membaca dan bukan taklid. Saya berkesimpulan walaupun Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani dan ayahnya ulama besar, namun apa yang ditulis tetap diteliti dan dicari di mana sumber rujukan. Mengenai ini bukan bererti menyalahkan ulama terdahulu, tetapi adalah untuk lebih memperjelas dan mengukuhkan kedudukan sesuatu hukum Islam yang akan diamalkan oleh masyarakat Islam yang luas tanpa ragu.